Latar belakang F-8 Crusader

Dalam bulan September 1952, Tentera Laut Amerika Syarikat meminta syarikat mengemukakan cadangan mereka untuk pesawat pejuang yang boleh terbang pada kelajuan Mach 1.2 pada ketinggian 30,000 kaki dan kelajuan Mach 0.9 pada paras laut dan mempunyai kelajuan mendarat.100 knot. Pesawat ini mempunyai jarak pertempuran 700 batu dari pengkalan.

Prototaip pesawat ini melakukan penerbangan sulung pada 25 Mac 1955. Pesawat ini mempunyai sayap yang mempunyai sudut tuju boleh ubah untuk meningkatkan pengendalian pada kelajuan rendah dan memberikan kelajuan maksimum yang lebih baik. Pesawat ini didorong oleh enjin Pratt and Whitney J57. Pada 16 Julai 1957, pesawat F-8 Crusader membuat catatan penerbangan dari Los Angeles ke New York dalam masa 3 jam 23 minit dengan kelajuan purata Mach 1.1 ataupun 726 bsj. Pesawat F-8 Crusader merupakan pesawat pertama dalam perkhidmatan Tentera Laut Amerika Syarikat yang boleh melakukan penerbangan supersonik secara berterusan dan boleh melebihi 1,000 bsj dalam penerbangan mendatar.

Pesawat ini menggunakan meriam sebagai senjata utamanya. Model RF-8 Crusader adalah versi untuk menjalankan misi peninjauan, dan bertindak cemerlang semasa Krisis Misil Cuba dengan memberikan gambaran paras rendah persiapan Soviet Union dalam penempatan misil balistik jarak pertengahan di Cuba.

Pesawat F-8 Crusader berkhidmat dengan skuadron barisan hadapan sehingga tahun 1976 dengan persaraan kapal induk kelas "Oriskany". Pesawat RF-8A pula meneruskan perkhidmatan dalam peranan tinjauan dan hanya bersara daripada perkhidmatan pasukan simpanan dalam tahun 1987. Vought akhirnya membina 1,261 unit pesawat ini. Tentera Laut Perancis menggunakan pesawat F-8 Crusader mereka sehingga tahun 1999.